OLEH: AINUL MARDHIAH (DAYANGKU SARAH-PAIPAS)
Segala  puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan  Rasulullah, yang mana pada hatinya turunnya Al-Quran. Seterusnya pada  ahlul bait, sahabat, tabi' tabiin, ikhwah wa akhwat dan semua umat Islam  di luar sana. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tika  ini, hati cuba merungkaikan kata-kata buat penawar rindu. Maka, hanya  pada Allah, ku pohon nikmat ilmu pengetahuan dan juga ilham untuk  menafikan segala kejahilan pada diriku dan dirimu. Semoga dengan  usahaku, terlaksana antara tuntutan syahadahku. Semoga dengan redhaNya.  Ameen.
Ukhti habibati halimul Quran pernah berkata, "Yang  penting adalah usaha dan bukanlah natijahnya." Kebenaran daripada  kata-kata itu sentiasa kuuji kala diri dilanda dengan mehnah yang hadir  sebagai tarbiyah untuk mengajar diri erti pengorbanan dan hakikat  sebenar hidup di muka bumi Allah ini.
Ya, kata-kata itu  boleh jadi motivasi diri. Pada hari Ahad., tercipta lagi memori yang  terpahat di hati. Pada paginya hanya berkesempatan mengikut program  selama setengah hari, selepas itu, bergegas pula ke liqo' medan dakwah,  dan seterusnya ke halaqah pada petangnya.
Dan pada Allah  terus ku berharap, ketika diri ini meredah hujan yang sangat lebat  dengan menaiki kereta untuk menghantar seorang akhwat dan mujahidah  comel ke rumah. Dengan jalan yang licin, pemandangan yang kabur,  kerisauan pada si kecil yang nyenyak tidur di pangkuan si ummi mula  menjalar menjerut hati. Kala itu, hanya pada Allah diserahkan  segala-gala urusan. Bermula dengan doa menaiki kenderaan, perjalanan  pulang dari halaqah pada petang itu, mencipta banyak memori dan juga  pengalaman;
'Sungguh, wahai diri.... Ujian itu sesuai  dengan tahap kesanggupannya. SubhanAllah, rupanya ana punya kemampuan  untuk menghadapi semua ini. Ya Allah, kurniakan kekuatan buat hambamu  yang lemah ini.' Tangan kanan memegang stereng kereta dan tangan kiri  menukar gear sesuai dengan kelajuan kereta.
Dan hujan yang  turun itu..... mengingatkan pada akhwat yang memarahi diri ini kerana  sanggup meredah hujan ke kereta untuk mengambil payung.
"Ukhti....  ana suka hujan..." Jawabku dengan senyum di bibir. Benar... hujan itu  seperti menyucikan diriku yang banyak berdosa seperti sucinya bumi ini  dibersihkan dengan titisan-titisan rahmat itu. Walaubagaimanapun, ketika  itu, sejujurnya, ku lebih risaukan pada akhwat tersebut dan mujahidah  kecil dipelukannya.
Wahai diri dan sahabat, apabila  bersama-sama di lingkungan ibu-ibu mithali ini, semakin Allah uji dengan  lembutnya hatiku. Hati-hati yang sentiasa bersama denganku ini hadir  bersama nur dan rahmat kurniaan Allah. Jasad-jasad yang lelah melayan  anak-anak kecil, menyusukan dan memberi makan anak-anak, melayan zauj  masing-masing, di samping kerjaya yang juga menuntut komitmen... dan  syukur pada Allah; masih mengurniakan kekuatan, masa dan ruang untuk  bersama-sama menghidupkan taman Islam yang indah.... Bersama pengisian  tentang tarbiyatul aulad, semoga terus berjihad mentarbiyah anak-anak  yang bakal mengorak langkah menyambut panji-panji perjuangan Islam.
"Terima  kasih ammah... Sekarang barulah tahu apa erti pengorbanan..." Kata-kata  yang diberikan pada diri ini selepas selamat sampai ke rumah.
'Tak...Terima kasih pada ukhti....' Getus hati kecilku. Kata-kata itu lebih layak buat dirinya yang tabah itu.
Sungguh,  wahai sahabatku... terus memohon doa pada Allah semoga dicukupkan  segala kekuranganmu. Bercita-citalah agar menjadi para pencintaNya  dengan cinta orang yang mencintaiNya, impikan menjadi para muqarrabin  yang menunaikan janji, berjuang bersama para waliNya menegakkan Islam di  dunia, semoga meniti jalan lurusNya untuk menjadi penghuni syurga.
Dan di syurga nanti ada apa???
Hehe... soalan yang sangat indah untuk dibincangkan bersama Muhammad Nabil, adikku yang paling bongsu berumur 8 tahun.
Antara jawapan-jawapan yang diberi kepadaku;
"Ada  gula-gula, ais krim, buah angggur, istana, jus epal, ayam goreng, buku  tajwid, pensel, bantal, cawan, coklat, kolam renang, bunga, madu, susu,  permainan......"
Dan jawapan-jawapannya sangat banyak dan kreatif.... hanya menjadikan hatiku riang dan sayu pada masa yang sama.
Ku tambah dalam list yang panjang itu;
"Mama, abah, kak long, kak ngah...."
"Mestilah, semua keluarga kita ada....." Adikku menambah sebelum sempat ku sebut seorang demi seorang ahli keluargaku.
'Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya. Ameen ya Rabbana.'
Ku timbulkan juga persoalan kepentingan membaca dan menghafal Al-Quran kepadanya,
"Kalau kita hafal Al-Quran...?"
"Kita boleh masuk syurga...." Jawab adik kecilku yang terus bersemangat mentasmi' surah At-Takwir padaku.
Semoga Allah mempermudahkan hafalanku dan hafalanmu. Ameen..
*Selepas perkongsian yang panjang bersama seorang saudara, maka, terdapat beberapa pencerahan yang telah diberikan.
Hakikatnya,  tawakal itu perlu sentiasa dan seiring. Ketahuilah juga, segala-galanya  adalah nikmat Allah; nikmat iman, amal, usaha, ilham, pengorbanan yang  dilakukan oleh kita adalah bersumberkan dari Tuhan Yang Maha Esa. Usaha  dan amal itu juga adalah kerana rahmatNya. Dan jika diimbas kembali,  manusia itu tidak akan layak untuk menjejak syurga Allah tanpa redha dan  juga rahmat dariNya.
Maka, usaha, amal dan ilham untuk  berbuat kebaikan juga adalah daripada Allah. Kerana segala-galanya  adalah milik Allah, termasuk hati yang sedang berbicara ini dan juga  mata yang sedang membaca karangan nukilan ini.
Semoga  Allah sentiasa merahmati saudara yang menjadi perantaraan sayang Allah  kepada diriku. Semoga rahmat juga dikurniakan buat semua.... Allah itu  Maha Pengasih dan Penyayang.... Segala pujian diberikan kepadaNya.
Wallahu'alam.

No comments:
Post a Comment